Mengapa "Sekolah Jenis Kebangsaan" Masih Wujud?
Blogger "Another Brick in the Wall" telas menulis artikel di Malaysia Today: Around The Blogs berkenaan pengekalan penggunaan Bahasa Mandarin dan sekolah Cina.
Katanya:
" Perhimpunan Agung MCA Kebangsaan ke 44 baru-baru ini mengemukakan 12 resolusi yang mana separuh darinya melibatkan isu pendidikkan. Salah satu dari isu-isu itu menuntut pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik di Sekolah Cina dalam bahasa Mandarin. Dari sebelum Merdeka, sekolah Cina adalah modal politik yang tidak habis-habis dijaja oleh kesemua parti politik Cina - MCA, Gerakan dan DAP. Niat tuntutan ini jelas untuk mengekalkan identiti Sekolah Cina tetapi implikasi tuntutan ini melebihi itu. "
Blogger tersebut turut membangkitkan isu penggunaan Bahasa Mandarin dalam konteks perniagaan dan diskriminasi terhadap orang Melayu sebagai kesannya. Disoal juga mengapa Sekolah Cina patut dikekalkan walaupun ia adalah "legasi kaum pendatang" sedangkan kaum Cina patut berintegrasi dengan masyarakat Malaysia umumnya.
Penulisan ini juga boleh dibaca di halaman blogger tersebut. Tajuknya Disebalik Tuntutan Bahasa Mandarin Pemuda MCA
Merujuk kepada artikel di atas, penulis ini (Sagaladoola) telah membuat analisis dan inilah hasilnya:
__________________________________________
MENGAPA "JENIS KEBANGSAAN" MASIH WUJUD? : ANALISIS
Sememangnya ada sedikit kebenaran dalam pandangan "Another Brick in the Wall". Namun begitu, harus juga diberi perhatian kepada beberapa ciri-ciri kegagalan kerajaan untuk menyeragamkan sistem pendidikan di Malaysia.
__________________________________________
ANALISIS 1: DASAR YANG BAIK MUNGKIN MENJADI DASAR TIDAK BAIK
1) Sememangnya idea Sekolah Wawasan yang diketengahkan adalah bagus.
Namun disebabkan kecurigaan dari segi pandangan kaum bukan-Melayu kerana tindakan sesetengah pemimpin di parti politik Utama Malaysia, tidak dapat dilaksanakan.
Kebanyakan kaum bukan-Melayu kini berasa tidak yakin terhadap tindakan kerajaan. Ini adalah kerana banyak laungan berdasarkan arus perkauman seperti "Ketuanan Melayu" diikuti dengan penggunaan keris dan kata-kata "bermandikan darah".
Menteri yang menggunakan keris bersertakan lolongan ialah Menteri Pendidikan sekarang !
Dakwaan ini bukannya tidak berasas. Sesetengah pemimpin Melayu suka menggunakan isu perkauman atau mengeluarkan buku 13 Mei dalam mesyuarat untuk menaikkan nama mereka dalam arena politik. Tindakan ini seakan-akan sudah menjadi satu budaya yang tidak sihat, namun masih diteruskan.
Saudara "Another Brick in the Wall", fikirkanlah kalau anda dilahirkan orang Cina diletakkan dalam keadaan tersebut, adakah anda masih ada keyakinan terhadap kepimipinan sebegitu. Adakah anda yakin untuk menutup sekolah jenis kebangsaan dan memberi kuasa pentadbiran kepada pemimpin sebegini?
2) Orang Cina khuatir, jikalau mereka membenarkan dasar pendidikan mereka dikawal oleh orang sedemikian, mereka takut kemungkinan didiskriminasikan dari segi permakahan dan sebagainya. Ini bukannya tidak berasas, tetapi kalau dilihat secara teliti, kebanyakan polisi yang diimplementasi mempunyai dasar-dasar yang tidak sama rata.
Seperti contoh, DEB yang pada mulanya baik dan disokong oleh kaum bukan-Melayu, dipusing-pusingkan sehingga ia menjadi alat yang menyusahkan.
Mangsa yang paling ketara adalah kaum bukan-Melayu kerana duit untuk menjana DEB datang dari titik peluh mereka. Majoriti duit cukai pendapatan datang dari kaum bukan-Melayu. Dengan berbanyak-banyak "bail-out", mereka sudah hilang keyakinan.
Fikirkanlah apa reaksi mereka kalau diberitahu pengurusan yang sama akan membuat polisi untuk Sekolah Wawasan?
ANALISIS 2: PENGURUSAN YANG LEMAH
3) Lihatlah keadaan Sekolah Kebangsaan kini. Kualiti turun mendadak sejak pengenalan KBSR / KBSM. Sekolah Jenis Kebangsaan hanya mengalami masalah dari segi penguasaaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Ada sesetengah pihak yang suka membandingkan kualiti sekolah kebangsaan Malaysia dengan sekolah di benua Afrika.
Semua orang tahu bahawa kebanyakan negara Afrika adalah mundur.
Pendidikan membentuk masa hadapan anak-anak. Adakah anda akan berasa yakin meletakkan masa depan anak-anak anda kepada pengurusan sebegitu?
__________________________________________
ANALISIS 3: BIRO TATANEGARA
4) Terdapat unsur-unsur negatif yang diterapkan dalam isikandungan pendidikan. Ini menambah kepada dasar tidak yakin kaum bukan-Melayu terhadap menyerahkan seratus-peratus pengendalian pendidikan kepada kerajaan.
Link 1: Biro Tatanegara Spread Racist Teaching (Biro Tatanegara sebarkan ajaran negatif perkauman)
Link 2: Biro Tatanegara sebarkan ajaran, pemikiran yang melampau?
__________________________________________
Ini adalah antara sebab utama mengapa kaum bukan-Melayu ingin meneruskan sistem pendidikan jenis kebangsaan. Penulis merasakan pendirian ini tidak akan bertukar sehinggalah politik pemerintahan berteraskan laungan politik perkauman dimansuh atau dihapuskan.
Sila jangan lihat penulisan ini sebagai satu sindiran. Sekiranya, keadaan di atas boleh diperbaiki, maka, keyakinan kaum bukan-Melayu akan bertambah untuk merealisasikan Sekolah Wawasan.
Namun begitu, penulis ini bersetuju bahawa kriteria "Mandarin is required" (Bahasa Mandarin diperlukan) untuk kemasukan ke syarikat swasta tidak sepatutnya berlaku. Bahasa Kebangsaan Malaysia ialah Bahasa Melayu. Orang Cina sepatutnya menghormati pendirian ini sebagaimana termaktub dalak konteks "kontrak sosial".
Orang Melayu pula patut melupuskan kriteria "Bumiputras only can apply" (Pekerjaan untuk bumiputra sahaja) terutamanya di syarikat GLC dan sektor kerajaan.
__________________________________________
Adalah tidak adil jika dikatakan Sekolah Jenis Kebangsaan dikatakan mengajar perkara yang tidak baik untuk perpaduan negara. Seorang penulis berbangsa Melayu berpendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) mengutus surat kepada Malaysiakini (http://www.malaysiakini.com) bersubjekkan "Terima kasih, sekolah Cina!". Penulis bernama Ngo Yian Jee pula dalam surat yang lain menyatakan yang berikut:
" Jika dikaji dari silabus mata pelajaran SRJK(C), boleh didapati bahawa unsur-unsur perpaduan awal-awal lagi telah ditekankan dalam semua aspek dari segi permahaman, saling menghormati antara kaum hinggalah ke seni budaya dan adat-istiadat pelbagai kaum.
Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara juga diberi pernekanan yang secukupnya supaya semua pelajar akan faham, fasih, malah menghayati kecantikan Bahasa Malaysia.
Tengok, bukankah sebagai seorang warga negara yang berbangsa Cina, saya, boleh menulis dalam Bahasa Malaysia dengan begitu lancar sekali? Walaupun tidak sebaik mana, tetapi sekurang-kurangnya boleh menyampaikan segala yang ingin disampaikan.
Jika khuatir, pergilah tanya mana-mana murid sekolah SRJK(C), manakah tanahairmu? Jawabnya pasti Malaysia. Siapakah Bapa Kemerdekaan negara? Jawabnya pasti Tunku Abdul Rahman.
Tiada seorang pun murid SRJK(C) yang tidak tahu nyanyi lagu ‘Negaraku’ kerana seperti di sekolah kebangsaan, ‘Negaraku’ dinyanyikan setiap kali perhimpunan diadakan. "