Sunday, May 04, 2008

Kemerosotan Bahasa Melayu di Peringkat Kebangsaan

Saya menerima e-mel di bawah pada pagi ini. Ini berkenaan dengan rintihan dan pandangan seorang mengenai kemerosotan penggunaan Bahasa Melayu di Malaysia baru-baru ini.
_________________________________________________

From Baha don to info@parlimen.gov.my
date : May 4, 2008 3:50 AM
subject : Bahasa Melayu vs Bahasa Inggeris
signed-by : yahoo.com
mailed-by : yahoo.com

Apa yang hendak memperjuangkan sangat oleh kaum-kaum Melayu yang dikatakan pejuang bangsa dan pejuang bahasa itu?

Lihat sajalah betapa lumrahnya penggunaan bahasa Inggeris diseluruh negara, apatahlagi di sekitar Lembah Kelang, Kuala Lumpur, Putra Jaya dan disekitarnya. Terpampang dimana-mana. Tak perlu disenaraikan. Terlalu banyak. Boleh pandang dan lihat sendiri.

Ini bukan baru. Nama-nama bangunan, nama-nama syarikat, firma, premis perniagaan, nama-nama jalan (contoh terbaik Presint sebagai nama jalan di Putrajaya - nak meniru macam di New York konon yang menggunakan Precinct pada nama-nama jalan). Itu sudah menunjukkan bahawa kita amat berbangga dengan penggunaan bahasa Inggeris. Penggunaan dalam pertuturan satu - ini tidak menjadi persoalan kerana ianya sebagai satu bentuk medium perantaraan disegi komunikasi, apatahlagi bahasa Inggeris sebagai satu bahasa perantaraan antara bangsa di seluruh dunia.

Satu lagi - Penggunaan bahasa Inggeris (sebagai bahasa asing - foreign language) dalam memberi lambang dengan mengekalkan identiti adalah satu persoalan yang harus di pertikaikan dan dikekang (dicegah). Identiti disini bermaksud dalam memberi nama pada satu-satu 'landmark' atau 'mercu-tanda' juga pada nama yang menunjukkan identiti negara kita (sebagaimana contoh Presint diatas). Tentang 'bangga' akan sesuatu pun seharusnya sekadar berpatutan dan berpada-pada - tidaklah sehingga terjejas akan identiti kita sendiri.

Melayu Melayu kita yang cinta sangat akan bahasa hinggakan sanggup memberi sekatan atau ruang yang sempit untuk generasi akan datang agar terperangkap dengan hanya penggunaan bahasa sendiri. Sedangkan bahasa Inggeris sendiri (bahasa antarabangsa) satu-satunya bahasa yang digunakan dalam pelbagai rujukan (tambah pula subjek seperti Science dan Mathematics). Apakah kita yang Melayu ni sanggup melihat anak-anak generasi baru kita terpaksa meraba-raba mencari-cari makna dan maksud dalam rujukan terhadap subjek Science dan Mathematics yang sudah semestinya banyak yang terdapat kajian-kajian maklumat dalam bahasa Inggeris? Jika dan apabila mereka yang diajar dalam bahasa pengantar bahasa Melayu, sudah tentu terpaksa pula kena belajar juga penggunaan bahasa Inggeris dikemudian hari untuk memahami kajian-kajian seterusnya (extra-learning and for pursuing further studies like specialists and so on). Tidakkah itu dikira dah terlambat? atau bila dah terdesak, barulah tergesa-gesa mencari peluang untuk mempelajari bahasa Inggeris, sedangkan peluang yang ada sekarang memang boleh didapati dari awal lagi dibuang atau ditolak, semata-mata kerana untuk menjaga martabat bahasa Melayu, yang tidak sepatutnya dibangkitkan langsung.

Ini kerana apa yang sedang berlaku pada bahasa Melayu kini pada penggunaan secara menyeluruh, nyata sekali bercelaru dan berterabur dan memang tidak terurus sejak sekian lama lagi. Ini semua amatlah jelas dan nyata terbukti dan dapat kita semua menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri dipersekitaran kita juga pada seluruh negara 'amnya.

Jadi, kenapa baru sekarang baru terfikir untuk mempertahankan martabat bahasa Melayu? Kita kalau mengaku sebagai pejuang bahasa sepatutnya membersihkan dulu segala apa jua kotoran, kepincangan dan pencemaran bahasa yang wujud sekarang, yang berada didepan mata kita, dimerata pelusuk persekitaran dan negara keseluruhannya. Cuci segenap sampah kotoran yang bertaburan didepan mata, dihalaman persekitaran 'rumah' kita dulu. Bukan nak jaga benda atau perkara yang maseh belum berlaku (sama ada positif atau negatif) - kita perlu kena bersihkan dulu kotoran yang memang dah lama terpalit sejak sekian lama dulu. Tindakan itu yang harus di ambil terlebih dulu. Bila dah berjaya dihapuskan segala pencemaran dan nyata menjadi bersih, kemudiannya barulah boleh mendabek dada yang diri kita sebagai 'pejuang bahasa'.

Kenapa hendak memberi tekanan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam subjek matapelajaran Science dan Mathematics, sedangkan penggunaan bahasa Inggeris sememangnya semakin berleluasa penggunaannya oleh semua peringkat lebih-lebih lagi dari kalangan orang Melayu sendiri (terutamanya yang kononnya bertaraf intelek).
Ini dapat kita lihat dan tontoni dimerata-rata majlis apatah lagi di rancangan-rancangan TV dalam pelbagai bentuk dan persembahan.

Pak pak menteri sendiri dan ahli-ahli politik Melayu kita pun apa kurangnya, masing-masing ghairah menggunakan bahasa Inggeris dengan sewenang-wenangnya dalam apa jua maupun dalam pertuturan mereka. Jika tidak nanti dikata orang, mereka semua tu tidak 'English-educated' - jadi menjatuhkan martabat dan credibility mereka seolah-olahnya. Disini nampak puak-puak Melayu sendiri yang terasa martabat mereka jatuh disebabkan tidak pandai berbahasa Inggeris. Justeru itu, dimana kedudukan Melayu yang kononnya memperjuangkan martabat bahasa demi bangsa Melayu? Adakah itu semua hanya sekadar retorik sahaja? Nampak-nampaknya begitulah.

Dengan penggunaan istilah Inggeris di campur-aduk bersama bahasa pertuturan Melayu sehingga diterima pakai dengan begitu senang dan menyeluruh oleh orang Melayu kita sendiri, secara tidak disedari ianya sudah menjadi lumrah dan dengan sendirinya sudah dianggap relevan. Jadi, jika hanya segelintir sahaja pejuang bahasa dari kalangan orang Melayu kita yang kononnya bermati-matian kini untuk mempertahankan maruah dan martabat bahasa dan bangsa kita, tidak mungkin boleh mengubah kehendak dan kecenderungan majoriti. Mungkin tidak akan dapat sambutan menyeluruh.

Mengapa baru sekarang barulah sedar dan terasa untuk bangkit memperjuangkan semua ini? Sedangkan badan yang seharusnya dan sepatutnya menjaga dan mengendalikan kedaulatan bahasa Melayu (iaitu Dewan Bahasa Pustaka sendiri) pun tidak kisah dan tidak begitu ambil peduli dan ambil berat tentang kepincangan bahasa Melayu yang telah pun tercemar sejak sekian lama. Kini baru badan-badan seperti Gapena yang kononnya pejuang bahasa baru bangun dari tidur-lena, terkejut tersentak, baru sedar akan bahasa Melayu sedang menuju kemusnahan dan kehancuran? Kenapa apa yang berlaku dulu itu, mereka tidak nampak? Kenapa sekarang, baru nampak?

Satu soalan untuk para pejuang bahasa yang dikatakan pencinta bahasa Melayu dan 'Pejuang Melayu' konon-kononnya - Sejak dari dulu lagi - kenapa anda sekalian tidak mempertikaikan nama atau jenama UMNO itu sendiri? U.M.N.O. singkatan kepada United Malays National Organization. Kan menggunakan bahasa Inggeris tu? Kan itu bahasa penjajah Inggeris yang menjajah kita sejak beratus-ratus tahun dulu? Kenapa diam membisu dalam isu seperti itu? Tunjuk lah kepahlawanan anda dalam memperjuangkan martabat bahasa dan maruah bangsa, sebagaimana yang senantiasa dicanang-canang dan dilaung-laungkan. Dimanakah langkah pertama dalam usaha perjuangan mereka semua?

Padahal isu yang dibangkitkan diatas (mengenai penggunaan bahasa Inggeris dalam nama singkatan UMNO itu sendiri) sepatutnya di perbetulkan dan dibubarkan jika bahasa Inggeris dianggap sebagai pengaruh penjajah yang harus dihapuskan dari minda pemikiran anak bangsa kita seterusnya. Dari situlah seharusnya langkah pertama dimulakan oleh mereka yang dikatakan pejuang bahasa dan juga pejuang bangsa. Mengapa ini tidak berlaku?

Sekian.

ikhlas dari,
Bahadon
_________________________________________________

Pandangan Sagaladoola
Berkenaan dengan nama UMNO itu, saya difahamkan bahawa nama yang digunakan adalah dalam bahasa Inggeris disebabkan waktu penubuhannya, tanah ini masih di bawah jajahan British maka "lingua franca" atau bahasa ruji rasmi yang digunakan pada masa itu adalah bahasa penjajah. Harap maklum.

Namun konteks e-mel ini mengenai kemorosotan Bahasa Melayu sememangnya patut diteliti. Saya sebagai orang Malaysia berasa paling kesal di atas peminjaman berleluasa perkataan Inggeris untuk diterapkan sebagai perkataan Bahasa Melayu. Saya berpendapat tidak salah kalau dikatakan peminjaman itu terlalu banyak sehingga boleh dikatakan Bahasa Melayu sudah menjadi seolah-olah bahasa kelas kedua. Untuk menyelesaikan masalah ini, seharusnya Dewan Bahasa dan Pustaka melihat bahasa-bahasa lain sekiranya ingin mendapatkan perkataan baru.

Sebagai contoh, perkataan "bohsia" untuk dikaitkan dengan perempuan yang terlibat dalam sesuatu gejala sosial pada zaman 90-an yang asalnya dari dialek Hokkien. Dengan fikiran yang lebih innovatif, "bohsia" dicantumkan dengan perkataan "jantan" menjadi "bohjan" bagi lelaki.

Pejuang-pejuang yang ingin menjadikan Bahasa Melayu lebih dinamik seharusnya mendapat ilham perkataan baru terlebih dahulu dari bahasa-bahasa tempatan lain seperti Bahasa Mandarin, Tamil, Malayalee, Kadazan, Iban dan dialek-dialek suku kaum lain di Sabah dan Sarawak.

Sekiranya bahasa itu dikira jiwa bangsa bukankah cara ini lebih sesuai? Tepuklah dada tanya selera.

2 comments:

Anonymous said...

Untuk lebih informa... Errr, pengetahuan, sila rujuk kepada kaum Perancis yang sudah lama berjuang melindungi bahasa mereka daripada serangan Inggeris.

Anonymous said...

Saya teringat 20 tahun lalu seorang pelancung Perancis menuntut ganti kehilangan barang daripada pelanggan saya, keatas kehilangan barang-barangnya yang pada hemat saya dan pelanggan tidak ikhlas. Kami sedia melayan, membantu dan bertolak ansur.

Beberapa ketika selepas dia sampai di negara sendiri, pelanggan saya mencampak surat tuntutan, melalui peguamn dan berbahasa Perancis, kepada saya dengan penuh keluhan. Untuk menilai kandungannya saya perlu terjemahan atas semua kandungan surat itu. Selepas dua minggu tiada perkembangan daripada pelanggan, saya selesaikan masaalah dengan menyediakan surat balasan kepada peguam Perancis.

Surat itu dalam Bahasa Malaysia!

Kos meyelesai kejadian itu hanyalah harga mel ke Perancis!